Kisah kejayaan adik Fathah Fasihah ini boleh dibuat contoh untuk ibu bapa dan adik-adik yang sedang berusaha mengejar kecemerlangan dalam pelajaran. Apa-apa pun yang kita lakukan selalulah berniat kerana Allah. Secara ringkasnya, menuntut ilmu kerana Allah SWT adalah sebaik-baik niat sepanjang kita menempuh alam pelajaran. Beristiqamah dalam apa juga amalan baik yang kita lakukan. Hormati ibu bapa dan guru-guru yang mengajar kita, perbaiki hubungan dengan Allah SWT, insyaaAllah apa juga usaha kita akan mendapat berkat.
SABAK BERNAM – Rahsia seorang ustazah Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa)
menunaikan solat hajat dan membaca surah Yasin sepanjang anaknya
menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi kunci utama kepada
kejayaan, Fathah Fasihah Mohd Mutalabisin, 18, apabila memperoleh 11A
dalam semua mata pelajaran.
Kejayaan itu lebih bermakna, apabila Fathah Fasihah yang bersekolah di
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Simpang Lima diumumkan sebagai
pelajar terbaik 2013 apabila memperoleh gred A satu (cemerlang
tertinggi) kecuali mata pelajaran biologi.
Fathah Fasihah berkata, sejak dari Ujian Pencapaian Sekolah Rendah
(UPSR) lagi, ibunya, Siti Hazar Mohammad Ayon, 46, tidak pernah
mengabaikan tanggungjawab bermunajat kepada ALLAH agar anak-anaknya
memperoleh keputusan cemerlang.
“Kalau tanya kepada saya, mungkin kejayaan ini adalah berkat doa ibu
yang tak pernah putus-putus bermohon kepada ALLAH agar saya dan
adik-beradik lain dapat menjawab peperiksaan dan lulus dengan
cemerlang,” katanya.
Fathah Fasihah berkata, ibunya yang mengajar di Kafa Taman Seri Indah,
Sungai Besar menjadi pendorong utama kejayaannya selain sokongan dan
dorongan daripada bapanya, Mohd Mutalabisin Maryaman, 49, serta
guru-guru di sekolah.
“Saya bukanlah pelajar yang fokus di dalam kelas, tetapi apabila pulang
dari sekolah, saya akan mengulang kaji pelajaran dan pastikan apa yang
diajar guru difahami dengan membuat banyak latihan,” kata anak kedua
daripada tiga beradik itu.
Fathah Fasihah yang bercita-cita menjadi doktor gigi berkata, dia juga
mengamalkan bacaan surah al-Quran sekurang-kurangnya 10 muka surat
setiap hari bagi mendekatkan diri kepada ALLAH dan terbukti amalan itu
berkesan serta memudahkannya mengingati setiap pelajaran yang diajar
guru.
“Kadang-kadang saya ada juga bangun malam untuk Qiamullail. Tapi amalan
yang saya buat dari dulu ialah membaca al-Quran kerana saya yakin
apabila kita dekat dengan-Nya, Insya-ALLAH semua yang kita usahakan akan
diberkati,” katanya.
Siti Hazar berkata, berkat mengamalkan solat hajat dan bacaan Yasin,
tiga anaknya itu berjaya dalam pelajaran dan beliau ingin berkongsi
rahsia kepada umat Islam lain agar tidak sesekali melupakan ALLAH dalam
setiap perbuatan yang dilakukan.
“Kita ada Pencipta, jangan malu mohon kepada ALLAH kerana Dia
sebaik-baik penentu. Sebagai hamba, kita hanya mampu berusaha, ikhtiar
dan berdoa, tetapi segala-galanya atas kehendak-Nya,” katanya.
Credit: Sinarharian.
No comments:
Post a Comment