Pages

Saturday, 22 March 2014

Anak Penjual Nasi lemak muncul graduan cemerlang Politeknik Melaka


Untuk adik-adik yang mungkin merasa sedih di atas kegagalan meraih kecemerlangan semasa peperiksaan SPM, ini suatu kisah yang boleh membangkitkan semangat adik-adik untuk maju dengan semangat kembali.
Muhasabah diri kita mengapa kita gagal adalah permulaan yang baik untuk bangkit kembali.

Pelajar-pelajar yang gagal untuk mendapat keputusan SPM terbaik semua A dan tidak dapat meneruskan langkah ke universiti pilihan boleh mengambil iktibar dengan kejayaan dua pelajar politeknik ini.

Ingatlah, memang kita berusaha untuk berjaya dalam peperiksaan kita, tetapi ada kalanya usaha kita tidak mencukupi, kurang mendengar nasihat ibubapa dan guru, strategi pembelajaran yang salah atau mungkin setelah semuanya kita buat, mungkin nasib tidak menyebelahi kita.

Kadangkala apa yang tertulis untuk kita sebenarnya ada hikmah tertentu yang tidak kita ketahui.

"Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui" AlBaqarah:216.

Apa-apa pun sekiranya kita kecundang dalam usaha kita ketika SPM, bukan bermakna kita gagal dalam kehidupan. Selepas SPM, semua orang berada pada permulaan baru di mana sikap dan usaha akan menentukan pula kejayaaan atau kegagalan seterusnya.

Pelajar Politkenik Melaka ini berusaha gigih untuk meraih kejayaan. Usahanya harus dicontohi adik-adik meskipun banyak halangan emosi dan material yang dihadapi mereka.




MELAKA 22 Mac - Anak seorang penjual nasi lemak membuktikan kesusahan hidup keluarganya tidak menjadi penghalang apabila dia diumumkan antara dua graduan menerima Anugerah Pengarah Politeknik sesi Disember 2012 pada Majlis Konvokesyen Politeknik Melaka Ke-13 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Amirul Izwan Ayub, 22, berasal dari Sungai Buloh, Selangor mendapat Diploma Perniagaan Antarabangsa (DPI) turut cemerlang dalam bidang kokurikulum.

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, ibunya membuka gerai menjual nasi lemak di tepi jalan di Taman Bandar Baru Sungai Buloh selepas bapanya bersara dan bergantung hidup daripada perniagaan itu.
Amirul yang kini melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok, Kedah dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Ekonomi Perniagaan berkata, hampir setiap cuti hujung minggu dia akan pulang untuk membantu ibunya berniaga.

"Setiap minggu saya balik bantu emak jual nasi lemak dan saya dibayar gaji RM200 seminggu. Duit ini saya gunakan untuk menanggung perbelanjaan pengajian saya sepanjang di Politeknik Melaka,'' katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen tersebut.

Bagaimanapun katanya, dia menerima anugerah tersebut dalam keadaan sedih kerana ibunya, Zanab Siron, 60, kini berada di Unit Rawatan Koronari (CCU), Pusat Perubatan UiTM kerana diserang sakit jantung tiga hari lalu.

Katanya, bapanya, Ayub Senawi, 70, bekas pesara tentera juga tidak sihat dan tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen tersebut.

Amirul adalah antara 482 graduan diploma yang berjaya menamatkan pengajian pada majlis konvokesyen yang dihadiri Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah.
Seorang lagi graduan yang menerima Anugerah Pengarah Politeknik ialah Mohamad Haziq Ismail, 22, daripada Diploma DPI yang merupakan rakan baik Amirul.

Dia merupakan anak keempat daripada enam beradik berasal dari Kulai, Johor, tidak menyangka dipilih untuk menerima anugerah tersebut.

"Sumber inspirasi kejayaan saya ini datang daripada ibu bapa saya kerana mereka banyak memberi galakan dan dorongan sepanjang pengajian saya di Politeknik Melaka,'' ujarnya.

Katanya, dia tidak mahu menghampakan harapan ibunya, Mariam Mohamed, 48, seorang suri rumah dan bapanya, Ismail Aidros, 50, pengusaha restoran yang ingin melihatnya berjaya dalam bidang akademik.

Katanya, nasihat kedua-dua ibu bapanya menjadi azimat pencetus semangat untuk dia belajar bersungguh-sungguh dan melakukan terbaik dalam apa juga bidang yang diceburi.

Kredit Artikel: Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment