Pages

Wednesday, 7 August 2013

Selamat Menyambut Aidil Fitri - Eid Mubarak - Taqabbalallahu minna waminka




Kami di Geliga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada anda sekelian di mana juga berada. Maafkan zahir dan batin.


Akhirnya Ramadhan berlalu pergi juga :'( lagi setengah jam kita akan masuk ke bulan  Syawal.

 HARI Raya Aidilfitri merupakan hari yang penuh dengan kegembiraan bagi seluruh umat Islam. Ini kerana pada hari itu segala keampunan dan rahmat daripada Allah diberikan kepada umat Nabi Muhammad SAW.
Hari yang mulia ini merupakan hari kemenangan umat Islam yang telah menumpaskan godaan nafsu sehingga mereka berjaya menamatkan perjuangan melakukan ibadah puasa, solat tarawih, tadarus al-Quran dan ibadah-ibadah yang lain.

Umat Islam di serata pelusuk menyambut dan merayakan Aidilfitri dengan gema takbir yang membesarkan Allah dan tahlil mentauhidkan-Nya. Kebesaran Allah dapat dilihat melalui rahmat dan maghfirah-Nya pada bulan Ramadan dan anugerah lailatulqadar yang cukup istimewa.
Kebanyakan kita akan merasa sangat ceria menyambut Syawal bersama keluarga, terutamanya ibu bapa dan adik beradik yang lain. Namun jangan kita lupa kepada mereka yang tidak bersama kita lagi, begitu juga yang mungkin tidak mampu untuk meraikan hari raya semeriah kebanyakan warga Malaysia. Umpamanya saudara kita yang berada di negara-negara yang sedang bergolak dan berperang, atau pun mereka yang kesempitan sepanjang tahun dalam menjalani kehidupan seharian. Bukannya kita hendak 'spoil' kemeriahan dan keceriaan dalam menyambut hari kemenangan ini, tetapi berpada-pada kerana tiada yang baik dalam melakukan sesuatu dalam tahap keterlaluan. Sambutlah 1 Syawal dengan cara yang diamalkan Rasulullah SAW dan bukannya dengan makan sehingga buncit, main mercun sampai ada yang putus jari jemari atau melakukan kemaksiatan.


Pada 1 Syawal meraikan hari raya, marilah kita berusaha untuk melakukan dan meninggalkan beberapa perkara yang telah diterangkan oleh Rasulullah. 

* Diharamkan berpuasa pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha

Seperti yang disebutkan oleh Rasulullah: “Sesungguhnya dilarang berpuasa pada dua hari raya, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” – Riwayat Bukhari dan Muslim.

* Membersihkan diri dan mandi sebelum pergi ke masjid

Sa’id bin Jubair berkata: “Sunah-sunah Eid itu ada tiga perkara, berjalan kaki ketika menuju ke masjid, mandi sebelum solat dan makan setelah waktu Subuh.”

Disunatkan mandi pada pagi hari raya sebagaimana tatacara mandi wajib, iaitu sebelum berangkat ke masjid.
Ali bin Abi Thalib pernah ditanya mengenai mandi sunat. Adakah boleh mandi sunat setiap hari? Beliau menjawab:
"Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi sunat pada hari Jumaat, hari Arafah, Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha." - Imam Syafie dalam Musnad al-Syafi'i, Jilid 1, muka surat 118-119.


Imam Nawawi mengatakan: “Seluruh ulama bersepakat sunahnya mandi sebelum solat Aidifitri.” 

* Makan beberapa biji kurma dalam jumlah ganjil sebelum ke masjid

Disunatkan kaum Muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya.
Sebelum ke masjid untuk mendirikan solat sunat Aidilfitri, kita digalakkan makan terlebih dahulu manakala pada Hari Raya Aidiladha, disunatkan tidak makan sebelum ke masjid. – Riwayat Bukhari

* Bertakbir pada waktu terbenamnya matahari iaitu masuk waktu solat Maghrib hingga keluarnya imam menuju ke mimbar pada keesokan hari

Banyak riwayat daripada Nabi Muhammad dan perkataan para sahabat yang memerintahkan untuk menghiasi malam hari raya dengan bertakbir kepada Allah. Muhammad bin Syihab al-Zuhri berkata: “Kami sentiasa bertakbir sejak melangkahkan kaki menuju ke masjid sehingga keluarnya imam.”
Selain itu, malam Hari Raya Aidilfitri merupakan waktu yang paling baik untuk berdoa. Imam Syafie pernah mengatakan: “Ada lima malam yang doa seorang hamba itu cepat dikabulkan oleh Allah iaitu malam Hari Raya Aidilfitri, malam Hari Raya Aidiladha, malam Jumaat, malam awal Rejab dan malam Nisfu Sya’aban.”

 Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Ia bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah selepas solat sunat Aidilfitri.

* Mengucapkan tahniah kepada sesama saudara Muslim

Dianjurkan kita mengucapkan tahniah sesama kaum keluarga dan rakan seagama kerana telah berjaya melaksanakan ibadah selama sebulan pada bulan Ramadan. Pengucapan selamat ini telah mula dilakukan sejak zaman sahabat.



Menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.
Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunah Nabi sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair katanya:
"Apabila para sahabat Rasulullah bertemu pada hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain 'taqabbalallahu minna waminka' (semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu). - Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, Jilid 5, muka surat 270-271. Hadis hasan.



* Memakai pakaian yang bagus atau baharu

Jika berkemampuan, pakailah pakaian yang baik dan elok serta memakai minyak wangi sebagai penghormatan pada hari yang mulia ini. Ia merupakan tanda syukur dengan memperlihatkan nikmat yang telah diberikan oleh Allah.

Imam Syafie berkata: "Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian." - Ringkasan Al-Umm, Jilid 1, muka surat 327.


* Disunatkan untuk solat Aidilfitri berjemaah

Pada pagi Syawal, kaum lelaki, wanita, orang musafir dan kanak-kanak disunatkan mengerjakan solat sunat Aidilfitri. Bagi wanita yang haid, mereka boleh duduk di luar masjid.

Ibn Abbas berkata:
"Rasulullah telah keluar pada Hari Raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya." - Hadis riwayat Bukhari.

*Puasa Enam  pada bulan Syawal

Sabda Rasulullah:

"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun." - Hadis riwayat Muslim.

Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama.


Kebiasaannya Syawal akan disambut terus menerus dengan rumah terbuka saudara mara dan sahabat handai, hingga telah menjadi resam di Malaysia, sambutan Syawal berpanjangan selama sebulan. Dalam meraikan kemeriahan Syawal, janganlah kita leka bergembira sehingga lupa istiqamah dengan amal ibadah dan tidak lagi solat berjemaah di masjid atau surau.

Kredit: Sebahagian artikel ini sumber nya di 'extract' dari  sini dan sini

No comments:

Post a Comment