Pages

Monday 21 October 2013

Istana Menanti - Novel

 

Berkenaan penulis Novel Istana Menanti:

Abdul Latip bin Talib, 58, bekas pegawai ladang Felcra, kini penulis sepenuh masa. Sebagai penulis yang prolifik, Abdul Latip memenangi pelbagai anugerah, termasuk kategori karya berunsur Islam. Novel 'Istana Menanti' berlatarkan tempat kelahiran pengarang, iaitu Kampung Ulu Seperi, Rembau, Negeri Sembilan. Lebih lanjut berkenaan beliau di sini

 

 

SINOPSIS

Novel Istana Menanti menceritakan tiga orang sahabat yang amat berminat dalam mengkaji sejarah. Mereka bersepakat untuk menjejak sebuah istana lama di puncak Gunung Datuk. Fadhil, Ah Seng dan Ramasamy mengunjungi Tuk Ngah yang menjadi pakar rujuk peristiwa bersejarah tentang kaitan Istana Menanti dengan sejarah kerajaan Melayu Melaka dan juga sejarah pejuang tanah air menentang penjajahan

Menurut Tuk Ngah, kewujudan Istana Menanti berkait rapat dengan kedatangan orang Minangkabau ke Tanah Melayu. Raja Melewar menjadi pemerintah yang pertama bersemayam di istana tersebut. Tuk Ngah juga bercerita tentang asal usul nama Rembau dan Sungai Ujung menjadikan remaja bertiga itu semakin teruja hendak menyiasat istana lama tersebut.

Pada hari yang sesuai, Tuk Ngah yang menemani tiga sahabat itu menunjukkan kegigihan mereka mengatasi halangan menawan puncak Gunung Datuk dan melihat sendiri keistimewaan Istana Menanti. Semasa dalam perjalanan menuju ke puncak, Tuk Ngah bercerita tentang sejarah pembukaan negeri Melaka oleh Paremeswara. Perjalanan mendaki mengambil masa dua jam, sambil mereka berehat di sebuah jeram yang cantik (Jeram Lubuk Petai) yang dikatakan tempat bersiram Raja Melewar dan Sultan Mahmud Shah. Tuk Ngah sempat memberi nasihat kepada remaja-remaja itu supaya menjaga tingkah laku semasa menuju ke puncak gunung demi menjaga keselamatan bersama-sama.

 Apabila sampai ke puncak gunung dan melihat reka bentuk istana yang dikatakan berpuaka itu, Tuk Ngah bercerita tentang bentuk bumbungnya yang kelihatan seperti tanduk kerbau. Menurut Tuk Ngah, bentuk itu sempena memperingati kemenangan seorang raja Minangkabau yang menang dalam perlawanan beradu kerbau. Tuk Ngah tidak masuk bersama-sama dengan remaja-remaja tersebut ke dalam istana kerana ingin berehat di luar istana.
Mereka bertiga masuk dan melihat sendiri keunikan seni bina istana lama tersebut. Ketika memasuki sebuah bilik yang dipercayai bilik tidur diraja, tiba-tiba mereka terkunci dari dalam. Mereka mencari-cari jalan keluar namun tidak berjumpa. Fadhil cuba mengetuk-ngetuk lantai lalu terjumpa pintu terowong bawah tanah yang gelap dan berbau hapak. Mereka cuba masuk tetapi gagal kerana terlalu gelap dan tidak tahu berapa jauhnya terowong itu. Mereka juga khuatir kerana terdapat terlalu banyak kelawar dan tikusdi dalam terowong tersebut.

Mereka kemudian terserempak dengan seorang pemuda bernama Khairil, seorang penuntut dari Universiti Putra yang keletihan turut terperangkap dalam terowong tersebut. Ketika mereka melelapkan mata kerana keletihan. Ah Seng terasa ingin membuang air besar. Dia masuk ke dalam terowong lalu ditangkap oleh sekumpulan penjenayah.  

Penjenayah tersebut sedang menggali tanah di dalam terowong itu kerana mencari harta yang mereka simpan semasa mereka berjuang menentang penjajah dahulu. Mereka menggelarkan diri mereka sebagai pejuang kebebasan. Akhirnya Fadhil, Ramasamy dan Khairil juga berjaya ditawan ketika mereka mencari Ah Seng di dalam terowong tersebut. Mereka dipaksa menggali sebuah lubang dan akhirnya menemukan sebuah peti besi yang penuh 'harta karun'  yang didakwa milik Dolah, ketua kumpulan penjenayah.  Setelah harta tersebut ditemui, penjenayah-penjenayah segera keluar dari terowong tersebut meninggalkan remaja-remaja itu. Mereka ditinggalkan sehingga gerakan mencari oleh polis dan penduduk kampung menemukan mereka.

Pada masa yang sama, ibu bapa remaja terbabit berasa bimbang apabila anak-¬anak mereka tidak pulang sehingga malam. Hasil perbincangan dengan ketua kampung, mereka telah berpakat membuat laporan kepada pihak polis. Pihak polis telah melancarkan gerakan mencari. Mereka beramai-ramai mendaki Gunung Datuk, namun gagal menemui remaja-remaja tersebut. Pada mulanya pasukan mencari hendak berundur sementara malam sudah larut, tetapi Tuk Ngah tiba-tiba muncul untuk menceritakan hal sebenar. Hasil perancangan akhirnya pihak polis berjaya memerangkap penjenayah-penjenayah yang sangat dikehendaki tersebut. Remaja bertiga itu juga selamat ditemui.  Penjenayah tidak sempat bolos. 
 
Seminggu kemudian, Fadhil, Ah Seng, Ramasamy dan kali ini Khairil turut sama datang ke rumah Tuk Ngah untuk berkongsi cerita sejarah lagi. Kali ini, Tuk Ngah bercerita tentang Dolah, ketua penjahat yang mereka temui di istana lama itu. Lelaki tua yang mendakwa pejuang pembebasan tanah air itu sebagai sahabat lamanya yang terpengaruh oleh ideologi komunis. Tuk Ngah juga bercerita tentang sejarah komunis di Tanah Melayu. Malam itu, suatu majlis kesyukuran dan doa selamat diadakan di balai raya Kampung Ulu Seperi demi meraikan kejayaan wira-wira kampung itu. Majlis itu turut dihadiri oleh orang kenamaan termasuklah Menteri Besar dan wartawan akhbar. Menteri Besar turut menyampaikan hadiah kepada semua yang terlibat.



Tema dan Persoalan Novel Istana Menanti

Tema novel Istana Menanti karya Abd Latip Talib ialah semangat sekumpulan remaja yang peka akan sejarah tanah air dan ingin mengkaji kesahihan sejarah tersebut.Fadhil,Ah Seng dan Ramasamy mewakili golongan remaja yang sangat minat akan subjek sejarah dan mempunyai rasa ingin tahu yang mendalam tentang sejarah setempat.Mereka bertiga juga sanggup meredah hutan berlukar untuk melihat sendiri kewujudan dan keunikan Istana Menanti di puncak Gunung Datuk.

Persoalan

a) Kesedaran golongan muda tentang sejarah tanah air. Fadhil,Ah Seng dan Ramasamy sanggup meluangkan masa ke rumah Tuk Ngah kerana warga  emas itu banyak mengetahui tentang sejarah setempat dan sejarah negara.

b) Semangat perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat yang berbilang masa.
Masyarakat di Kampung Ulu Seperi,Rembauterdiri daripada masyarakat pelbagai kaum.Mereka hidup bersatu-padu dan saling membantu.Khususnya ketika mencari Fadhil,Ah Seng dan Ramasamy yang hilang di Gunung Datuk.

c) Kebijaksanaan pahlawan-pahlawan Melayu pada zaman dahulu dalam mengatur strategi perang. Pahlawan-pahlawan Melayu terdahulu membina kediaman yang jauh dipuncak bukit atau gunung agar terselamat daripada serangan musuh.Istana Menanti dibina di puncak Gunung Datuk telah dijadikan tempat dijadikan tempat berkumpulanya pendekar-pendekar Rembau dalam usaha mereka menentang penaklukan Portugis dan Inggeris. 

Watak Dan Perwatakan Novel Istana Menanti 

Watak utama dalam novel ini ialah Fadhil . Watak Fadhil, Ah Seng dan Ramasamy yang ketiga-tiganya berusia 15 tahun, melambangkan ikatan perpaduan kaum di Malaysia, selain mereka juga memiliki naluri ingin tahu yang kuat. Semangat patrotisme dalam diri mereka juga begitu kuat. Selain daripada mereka bertiga, watak-watak yang terdapat dalam novel ini: Tuk Ngah,Khairil Anuar,Dolah,Sarjan Mokhtar,Encik Leong,Pak Senik,Encik Karim dan Encik Shanti.

Fadhil 
   Fadhil masih bersekolah dalam Tingkatan 3, merupakan anak kepada Encik Karim dan Mak Joyah. Dia meminati subjek  sejarah dan bercita-cita untuk bergelar ahli sejarah.

Berkenaan Fadil:

1.  Seorang yang tabah -  Fadhil tabah dalam menghadapi penjenayah yang mengerahnya untuk menggali tanah bagi mendapatkan harta karun. Mereka diugut akan dibunuh sekiranya tidak mengikut arahan.
2.  Penyayang    -  Dia teringat akan ayah dan ibunya ketika dalam tahanan
3. Berani-  Fadhil berani mendaki puncak Gynung Datuk untuk melihat kecantikan dan keunikan Istana Menanti walaupun diberitahu bahawa istana itu berpuaka dan ada penunggu.
4.   Taat perintah agama- Fadhil sering bersolat Maghrib secara berjemaah dengan keluarganya. Selepas itu, dia akan belajar mengaji al-Quran dengan bapanya.
5.    Tidak berdikari - Fadhil  tidak bersendirian mendaki puncak Gunung Datuk tetapi pergi bersama-sama dengan Ah Seng, Ramasamy dan Tuk Ngah.
6. Pandai mengambil hati/ memujuk  - Fadhil memicit-micit kaki Tuk Ngah semasa bercerita tentang keistimewaan Istana Menanti supaya Tuk Ngah terus bercerita.
7. Matang dan berfikiran jauh - Fadhil bijak merancang dengan menyenaraikan barang yang harus dibawa sebelum memulakan ekspedisi ke puncak Gunung Datuk.  8. Menghormati orang tua- Dia meminta izin daripada kedua-dua  orang tuanya untuk menyertai ekspedisi ke Gunung Datuk.

Ah Seng 
   Ah Seng ialah kawan baik Fadhil.Dia anak kepada peniaga barang-barang runcit iaitu Encik Leong dan  Puan Lily.Dia mempunyai minat dan cita-cita yang sama dengan Fadhil. Kadangkala sikapnya lepas laku  dan terlalu mengikut perasan.Ketika sedang mendaki bukit,dia ketawa dan bersuara kuat dan berlagak  seperti Tarzan apabila melihat kera dan burung bertempiaran lari.Suka makan,dia tetap berselera makan  meskipun dalam kesusahan.Contohnya:ketika semua orang sedang risau kerana terperangkap di dalam
bilik,dia tetap berselera untuk makan.

Ramasamy 
Ramasamy ialah kawan baik Fadhil dan Ah Seng.Dia sebaya dengan Fadhil dan Ah Seng serta  mempunyai minat yang sama dengan kedua-dua sahabatnya itu.Dia merupakan anak Encik Shanti dan  Puan Mary.Dia berani.Contohnya:ketika menyusuri terowong untuk mencari Ah Seng,Ramasamy dan  kawan-kawannya terserempak dengan beberapa orang lelaki.Dia mahu melawan orang-orang jahat itu  tetapi dihalang oleh Khairil Anuar.

Tuk Ngah 
   Tuk Ngah ialah warga tua di Kampung Ulu Seperi,Rembau.Usianya hampir 80 tahun.Beliau suka  berkongsi cerita kerana beliau tahu tentang cerita sejarah setempat dan sejarah negara.Beliau banyak  pengalaman.Beliau pernah melalui zaman kependudukan Jepun di Tanah Melayu dan melalui zaman  darurat sebagai akibat pemberontakkan pengganas Komunis.Tuk Ngah masih sihat,kuat dan dan  bertenaga.Buktinya,beliau masih larat mendaki Gunung Datuk untuk menemani Fadhil,Ah Seng dan  Ramasamy.

Karekter Tuk Ngah:

a) Penyayang - Tuk Ngah menyayangi Fadhil, Ramasamy dan Ah Seng. Dia sanggup melayan kerenah mereka serta menceritakan kisah sejarah sebagaimana yang dipinta oleh mereka.
-   Dia amat senang hati dengan kedatangan mereka kerana semua anaknya telah bekerja dan berkahwin.
b) Bertanggungjawab - Tuk Ngah bertanggungjawab dan mengambil berat akan keselamatan Fadhil, Ah Seng dan Ramasamy dengan membuat laporan kepada pihak polis apabila mendapati mereka hilang.
c) Baik hati -  Tuk Ngah sanggup menemani tiga sahabat tersebut untuk mendaki puncak Gunung Datuk walaupun sudah berusia 80 tahun.
-  Beliau suka berkongsi cerita kerana beliau tahu tentang cerita sejarah setempat dan sejarah negara.

Khairil Anuar 
   Dia seorang penuntut di Universiti Putra dan berusia dalam lingkungan 30 tahun.Tubuhnya
gempal.Berani. Contohnya:dia bersendirian ke Istana Menanti semata-mata untuk mengkaji sejarah lama  itu.Dia tidak lemah semangat ketika berhadapan dengan ribuan tikus yang kelaparan,terserempak  dengan ular sawa dan mendengar bunyi yang sungguh menyeramkan ketika mencari jalan keluar dari  terowong.Khairil Anuar bercita-cita hendak menulis sebuah buku tentang sejarah Rembau.Dia  prihatin,bertanggungjawab dan mengambil berat.Meskipun baru mengenali Fadhil,Ah Seng dan  Ramasamy,dia amat mengambil berat kan keselamatan mereka.

Dolah 
   Dia lelaki tua yang berusia dalam lingkungan 80 tahun dan kawan kepada Tuk Ngah semasa kecil.Dia  pernah mendakwa dirinya sebagai pejuang pembebasan tanah air dan pernah dilantik menjadi ketua pasukan ke-10, Parti Komunis Malaya(PKM). Dolah pernah melarikan diri ke negara China pada sekitar  tahun 1960-an tetapi kembali semula ke tanah air 40 tahun kemudian selepas memperoleh  pengampunan daripada Kerajaan Malaysia.

Karekter Dolah:
a) Mempunyai sikap yang tidak baik iaitu pendendam
    Dia ingin membalas dendam terhadap kematian beratus-ratus kawannya yang terbunuh akibat diserang oleh tali barut Inggeris
b) Penjenayah negara yang tidak pernah insaf
Dia berfahaman komunis yang masih tidak mengiktiraf kemerdekaan Malaysia . Dia mengetuai pembelot negara.
 
c) Bertimbang rasa
    Sungguhpun dia bersikap pendendam dia menghulurkan plastik yang berisi minuman kepada Ah Seng kerana dia tahu Ah Seng dalam kehausan.

LATAR TEMPAT

a) Di Rumah Tuk Ngah di kampung Ulu Seperi ,Rembau,Negeri Sembilan.
Contohnya: Tuk Ngah berkongsi cerita dengan Fadhil,Ramasamy dan Ah Seng tentang banyak cerita sejarah setempat dan sejarah negara di rumah  ini.

b) Di Istana Menanti  
Contohnya: Istana Lama ini terletaknya di puncak Gunung  Datuk. Ketika Fadhil,Ah Seng dan Ramasamy tiba, di dalam istana bersih seolah-olah ada penjaganya. Di sini juga tempat mereka terperangkap dalam salah sebuah bilik di dalam istana tersebut.

c)Di Jeram Lubuk Petai. Contohnya:  Jeram ini terletaknya di kaki Gunung Datuk.  Di tempat ini lah Fadhil, Ah Seng , Ramasamy, dan Tuk Ngah berehat setelah penat berjalan semasa mendaki Gunung Datuk.  Kawasan ini dikatakan berpuaka dan didiami makhluk halus.

d) Di Terowong rahsia di bawah tanah. Contohnya:  Terowong itu gelap,bercabang dua dan menyeramkan.Terowong itu menjadi tempat persembunyian ribuan tikus dan kelawar. Di sinilah tempat Fadhil,Ah Seng, Ramasamy dan Khairil Anuar di tangkap oleh penjenayah dan dipaksa menggali harta karun.

e)Di Kedai runcit Encik Leong.
Contohnya:Menjadi tempat penduduk Kampung Ulu Seperi berkumpul di sini  bagi membincangkan masalah kehilangan Fadhil,Ramasamy dan Ah Seng.

f)  Di Balai polis Kampung Ulu Seperi. Contohnya: Pak Senik, Encik Karim,Encik Leong dan Encik Shanti  melaporkan kehilangan tiga sahabat.  Sarjan Mokhtar menyuruh pihak polis dan penduduk kampung  berkumpul di perkarangan balai sebelum gerakan mencari dijalankan.


Latar Masa 


a)Waktu Siang.Contohnya:Fadhil,Ramasamy dan Ah Seng ditemani Tuk Ngah memulakan ekspedisi  mendaki Gunung Datuk.
b)Waktu malam.Contohnya:Penduduk kampung dan anggota polis menjalankan gerakan mencari orang  hilag di sekitar Gunung Datuk.
c)Seluruh cerita:Cerita ini berlangsung dalam tempoh seminggu.Pada hari Jumaat iaitu ketika tiga  sahabat merancang untuk ke Gunung Datuk di rumah Tuk Ngah hingga hari Jumaat yang berikutnya iaitu  ketika majlis kesyukuran dan doa selamat yang diadakan di balai raya.

Latar Masyarakat

a)Golongan muda yang peka akan sejarah
Fadhil,Ah Seng dan Ramasamy mewakili golongan muda yang minat akan sejarah setempat dan sejarah  tanah air.
b)Golongan tua yang serba tahu akan sejarah
Tuk Ngah mewakili orang lama yang banyak melalui zaman seperti zaman kependudukan Jepun dan  zaman darurat.Beliau juga banyak tahu tentang sejarah setempat dan sejarah negara.
c)Masyarakat yang berbilang kaum dan agama
Penduduk di Kampung Ulu Seperi,Rembau hidup makmur meskipun dihuni oleh pelbagai bangsa dan  agama.
d)Masyarakat desa yang hidup bagai aur dengan tebing
Penduduk setempat membantu pihak polis mencari Fadhil,Ah Seng dan Ramasamy yang hilang di puncak  Gunung Datuk.
e)Masyarakat yang belot dan derhaka pada negara
Dolah mewakili segilintir masyarakat yang belot dan derhaka kepada negara.Dia sanggup bersekongkol  dengan pihak komunis dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan selepas Tanah Melayu Merdeka. 

NILAI DAN PENGAJARAN

Nilai 

a)Cinta akan negara.Contohnya:Fadhil,Ah Seng dan Ramasamy rajin bertanya dan mengkaji untuk mengetahui sejarah tempatan dan sejarah negara daripada Tuk Ngah.
b)Bekerjasama.Contohnya:Penduduk kampung bekerjasama dengan pihak polis dalam gerakan mencari dan menyelamatkan Fadhil,Ah Seng dan Ramasamy yang hilang.
c)Berani.Contohnya:Tiga sahabat itu berani ke puncak Gunung Datuk semata-mata untuk melihat keunikan Istana Menanti.Begitu juga dengan Khairil Anuar yang berani bersendirian semata-mata untuk mengkaji sendiri nilai sejarah yang ada di situ.
d)Prihatin.Contohnya:Khairil Anuar peka dan prihatin akan keselamtan Fadhil dan rakan-rakannya meskipun dia baru sahaja mengenali tiga sahabat itu.
e)Kasih sayang.Contohnya:Ibu-bapa Fadhil,Ah Seng dan Ramasamy sangat sayang akan anak mereka.Mereka berasa amat risau apabila anak-anak mereka lewat pulang dan segera bertindak melaporkan kehilangan mereka kepada pihak polis.


Pengajaran


a)Kita hendaklah mempelajari sejarah kerana melalui sejarah kita akan mengetahui asal-usul sesuatu perkara itu berlaku.Contohnya:Fadhil,Ah Seng dan Ramasamy rajin bertanya kepada Tuk Ngah tentang sejarah setempat dan sejarah negara.Mereka juga meminati subjek sejarah di sekolah.
b)Kita haruslah mempertahankan maruah bangsa dan negara daripada ancaman musuh.Contohnya:semasa Perang Naning,orang Rembau turut membantu Dol Said menentang orang Inggeris.Mereka akhirnya berjaya dalam peperangan itu.
c)Kita hendaklah berani dan gigih untuk memperoleh apa-apa yang diimpikan.Contohnya:sejak kecil lagi,Khairil Anuar begitu tertarik dengan sejarah Rembau dan bercita-cita untuk menulis buku tentang sejarah Rembau.Oleh itu,dia gigih mencari maklumat dan menyelidik tempat-tempat sejarah di Rembau.
d)Kita haruslah menghargai kemerdekaan dan mengenang jasa para perjuang terdahulu.Contohnya:jasa- jasa pejuang terdahulu yang berusaha membebaskan tanah air daripada dibelenggu penjajahan,haruslah dikenang sampai bila-bila.
e)Kita haruslah berfikir panjang sebelum bertindak. Contohnya:pihak polis yang diketuai oleh Sarjan Mokhtar berfikir panjang dalam mengatur strategi kerana dikhuatiri akan membahayakan keselamatan Fadhil,Ah Seng dan Ramasamy.  

credit untuk blog di bawah kerana artikel di atas adalah gabungan rujukan novel, copy paste dan edit dari pelbagai sumber.

credit:

http://abdullatip.blogspot.com/
http://istanamenanti-pemabuklaut.blogspot.com/2011/10/latar-novel-istana-menanti.html
http://cikguchom.blogspot.com/2013/07/novel-istana-menanti-biodata-pengarang.html
http://cikguazharrodzi.blogspot.com/2012/08/novel-istana-menanti-komsas-tingkatan-1.html

No comments:

Post a Comment